Apr 06, 2026 12PM
Jakim tegaskan padam hantaran FB Dakwah Jakim kerana kesilapan teknikal
Tindakan memadam hantaran tentang dua syarikat pengeluar kopi dan biskut di Melaka bukan untuk melindungi mana-mana pihak, sebaliknya disebabkan kesilapan teknikal di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, menjelaskan hantaran Facebook dipadam kerana ia dikongsi Bahagian Dakwah JAKIM yang BUKAN saluran rasmi untuk pengumuman status halal.
“... untuk menuduh ataupun meletakkan syak wasangka dengan memadam hantaran itu sebagai sebab menyembunyikan sesuatu atau melindungi mana-mana pihak adalah sangat tidak adil.
“Saya melihat perkara ini lebih kepada isu teknikal di mana pihak Bahagian Dakwah sendiri, minta maaf kalau saya sebut khilaf dalam mengeluarkan nama syarikat tersebut, sepatutnya ada saluran yang rasmi untuk keluarkan (maklumat),” katanya dipetik Bernama.
Beliau menegaskan semua maklumat status halal mesti disahkan dan disampaikan melalui platform rasmi Bahagian Pengurusan Halal bagi mengelak kekeliruan masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli
Terdahulu, tindakan Bahagian Dakwah JAKIM memadam hantaran menimbulkan keraguan pengguna, yang menuntut JAKIM bertindak tegas dan mendedahkan nama syarikat bagi melindungi pengguna Muslim.
Sebelum ini, media melaporkan sijil halal sebuah kilang kopi dan biskut di Melaka ditarik balik selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi untuk membersihkan peralatan.
Perkara itu dikesan semasa pemeriksaan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Januari lalu, selepas penguat kuasa mendapati berus berasaskan bulu haiwan digunakan di premis.
Marhamah menambah, pemantauan dan penguatkuasaan status halal oleh JAKIM dijalankan secara berterusan, bukan hanya apabila isu tular.
Beliau menegaskan komitmen pihak berkuasa memastikan pematuhan standard halal terpelihara demi kepentingan pengguna Islam.
Marhamah turut menasihatkan umat Islam mengamalkan sikap bersederhana, terutamanya menghadapi cabaran ekonomi akibat krisis tenaga global.
Waktu Solat


06 Apr 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:24
















